Fatwa Pengharaman Yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini mengakibatkan banyak tentangan daripada NGO-NGO tertentu, golongan non-muslim dan juga golongan muslim yang mengamalkan Yoga. Lebih teruk, isu ini seolah-olah dihisteriakan oleh pihak penentang fatwa, manakala pihak pembela fatwa berikrar akan mempertahankan fatwa ini habis-habisan. Maka, tidak semena-mena institusi fatwa negara dibicarakan seolah-olah tidak lagi relevan, dan menyusahkan rakyat yang berbilang kaum.
Hakikatnya, isu ini telah dihisteriakan sebegitu teruk oleh pihak tertentu adalah hasil daripada ketidakfahaman mereka terhadap kandungan fatwa dan hakikat Yoga itu sendiri. Ini adalah akibat daripada liputan separuh masak media masa terhadap kandungan fatwa dan mungkin juga niat jahat sesetengah pihak tertentu terhadap institusi berautoriti Islam dengna hanya menunggu peluang dan ruang untuk menyerang habis-habisan. Selain itu, kekeliruan juga berlaku apabila di Malaysia istilah Yoga (falsafah yang berkaitan dengan agama Hindu) dan Asana (sejenis senaman zahir yang berkaitan Yoga) tidak dibezakan.
Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa dengan cukup jelas. Yoga menjadi haram apabila ia diamalkan bersama-sama dengan unsur kebatinan, spiritual dan mantera yang tidak difahami serta pemujaan kepada unsur selain ALLAH SWT. Manakala jika hanya melibatkan pergerakan fizikal sahaja maka ia tidaklah menjadi haram. Ini yang dijelaskan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan , Prof Datuk Dr Shukor Husin. Maka, jelas di sini bahawa, jika senaman Yoga tersebut bebas daripada unsur kebatinan maka umat Islam boleh beramal dengannya.
Fatwa ini bukanlah baru. Bahkan ia meliputi seni mempertahankan diri lain selain dari Yoga juga. Sudah berapa banyak Perguruan Silat yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa kerana ia mengandungi unsur mantera yang tidak difahami, kebatinan dan pemujaan kepada selain ALLAH SWT. Namun, jika silat tersebut tiada unsur-unsur seperti yang dikatakan di atas, ia bebas untuk diamalkan. Seni Silat yang berasal daripada tanah Melayu sendiri harus mengikuti kehendak Islam. Tiada kompromi. Oleh itu, format yang sama juga perlu diikuti oleh semua amalan lain termasuk Yoga.
Masalah yang lain adalah, di Malaysia, istilah Yoga tidak dibezakan dengan Asana. Yoga merupakan salah satu daripada 6 mazhab ortodoks di dalam agama Hindu. Manakala Asana adalah senaman yang biasanya dikaitkan dengan Yoga yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kelenturan tubuh, kesihatan dan ketenangan fikiran. Saya fikir, adalah lebih tepat dikatakan senaman Yoga yang diamalkan oleh pakar-pakar kesihatan di Malaysia dinamakan kembali sebagai Asana. Agar kekeliruan ini tidak timbul kerana Yoga adalah sejenis mazhab Agama. Oleh itu, sememangnya untuk menjaga akidah Umat Islam, Yoga dalam erti kata sebenar tidak patut dipelajari oleh Umat Islam kecuali untuk tujuan penyelidikan. Namun, senaman yang bersih daripada unsur syirik, sudah tentu ia tidak menjadi masalah.
Oleh itu, kalau lah semua pihak mencari titik temu di dalam isu ini, maka histeria ini tidak akan berlaku. Kepada pengamal Yoga, bersihkan amalan mereka daripada sebarang mantera dan unsur syirik. Itupun kalau selama ini ada. Kalau mengikut Datin Suleiha Merican, Pengusaha Moya Yoga Studio, selama inipun mereka tidak mengamalkan sebarang unsur syirik dan mentera kecuali hanya senaman sahaja. Dan lebih baik menamakan kembali senaman Yoga mereka sebagai Asana. Manakala umat Islam tidak terburu-buru menghentam pihak yang mengamalkan senaman Yoga selagi tidak mengetahui asal usul suatu perkara tersebut. Selain itu, Yoga dalam erti kata yang sebenarnya iaitu salah satu daripada ajaran Hinduisme maka ia tetaplah haram. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan harus dijunjung, tetapi siri-siri penerangan haruslah dibuat agar semua umat manusia tidak mempunyai kefahaman yang salah terhadap Islam. Sikap sentiasa ingin berkelahi seperti yang ditunjukkan oleh NGO tertentu seperti Sisters in Islam (SIS) tidaklah membantu di dalam meredakan isu ini.
Selain Yoga, marilah kita sama-sama membanteras juga sesetengah amalan kebatinan dan persilatan yang berselindung di atas nama Islam yang turut mempunyai pelbagai mantera pemujaan yang tidak ada asasnya dalam Islam. Ia juga turut haram bukan.
Fadhlur Rahimi Ahmad Bustami
Timbalan Pengerusi
Jaringan Siswazah Malaysia (JASA)
Sumber: dari email